Membangunkan item-item soal selidik (Review buku)

Tajuk Buku: The Power of Survey Design: A User’s Guide for Managing Surveys, Interpreting Results, and Influencing Respondens.

Pengarang: GIUSEPPE IAROSSI

 

Iarossi,G. (2006). The Power of Survey Design: A User’s Guide for Managing Surveys, Interpreting Results, and Influencing Respondens. Washington, D.C.: The World Bank.

Bahagian pengenalan buku ini menceritakan tentang idea utama pengarang apabila beliau suka melihat masalah yang timbul dalam pencarian utama kaji selidik atau tinjauan tidak kira mengenai isu apa sekalipun iaitu, masalah untuk mendapatkan jawapan yang berbeza. Dalam menjalankan tinjauan tidak kira sama ada soal selidik atau pun temu bual, pengarang menekankan bahawa mendapat jawapan yang sama daripada semua responden bermakna tinjauan itu sepatutnya tidak perlu dijalankan. Oleh itu, penyelidik yang membangunkan instrumen soal selidik dan protokol temu bual perlu kreatif dalam membina soalan agar sasaran jawapan yang diterima daripada responden adalah berbeza. Apabila terdapatnya perbezaan jawapan oleh responden, maka di situlah bermulanya kerja-kerja pengukuran terhadap data soal selidik dan analisis data terhadap data temu bual.

Matlamat utama buku ini ditulis adalah untuk membincangkan mengenai peranan tinjauan dalam memberikan implikasi kepada keputusan sesebuah kajian (ms 3). Setiap soal selidik yang dibangunkan akan memberikan nilai jawapan yang berbeza bergantung kepada bagaimana instrumen itu diuruskan. Menguruskan sebuah instrumen tinjauan bermaksud bagaimana penyelidik membangunkan item-item soal selidik yang unik dan memerlukan penelitian serta garis panduan tertentu dalam setiap langkah atau turutan soalan agar ia membolehkan keputusan soal selidik tersebut menjawab persoalan kepada kajian yang ingin dikaji. Dalam muka surat 5 hingga 8 ditunjukkan contoh-contoh soal selidik berserta jawapan dan contoh-contoh ini adalah contoh soal selidik yang  berjaya mendapat data jawapan yang mampu memberikan nilai skala apabila dianalisis iaitu jawapan yang boleh diukur, dan itulah asas kepada sebuah instrumen soal selidik yang berkualiti.

Dalam bab 2 (ms 9), menceritakan tentang kepentingan perancangan yang teliti dalam pengurusan sebuah instrumen soal selidik. Idea praktikal oleh Weeks (2003) digabung jalin dengan idea teori oleh Moser & Kalton (1971) menjadikan asas kepada tanggungjawab utama pengurusan soal selidik iaitu menyediakan pembangunan soal selidik yang menyeluruh terhadap isu yang ingin dikaji, mereka bentuk soal selidik dan borang kemasukan data, merintis item-item soal selidik, menentukan populasi responden berserta  kewangan yang diperlukan, mereka bentuk contoh-contoh soalan, melatih diri memberikan soalan soal selidik, dan memantau setiap kerja yang dilakukan serta membangunkan prosedur kawalan kualiti data. Setiap aktiviti dalam tanggungjawab ini dilakukan secara tertib atau dalam keadaan tertentu pengkaji harus mengulangi langkah adalah ia bergantung kepada keadaan semasa atau perkembangan sesuatu isu. Dalam muka surat 10 hingga 25, pengarang membincangkan secara terperinci mengenai aktiviti-aktiviti pengurusan soal selidik yang disenaraikan. Kesimpulan dari bab 2 ialah, menguruskan sebuah pembangunan instrumen soal selidik bukanlah satu kerja mudah. Cart gant yang ditunjukan dalam muka surat 24 memaparkan bahawa sebuah instrumen sistem soal selidik yang dibangunkan berasaskan kepada langkah dan aktiviti yang disenaraikan mengambil masa selama 7 bulan.

Dalam bab tiga, perkara utama yang dibincangkan ialah mengenai kemungkinan bertanya soalan yang salah. Ini kerana dalam mendapatkan jawapan yang berbeza untuk satu-satu soalan, penyelidik sering melakukan kesilapan dengan membangunkan soalan yang akan menjadikan setiap responden memberikan jawapan berbeza antara satu sama lain kerana perbezaan mereka menginterpretasikan soalan. Sepatutnya, soalan yang baik adalah soalan yang mampu mendapatkan jawapan berbeza daripada setiap responden disebabkan oleh perbezaan situasi, atau pendapat responden. Kecenderungan kepada salah interpretasi kepada soalan bermakna soalan tersebut adalah rumit dan ia bukanlah soalan yang relevan untuk dibuat pengukuran. Dengan itu, 2 aspek penting dalam pembangunan instrumen soal selidik adalah relevan dan tepat (ms 27). Selain daripada itu, bagaimana soalan itu diberikan kepada responden juga adalah perkara penting yang perlu dilihat. Menyampaikan dalam bentuk percakapan adalah berbeza dengan menyampaikan soal selidik melalui tulisan. Pengkaji harus membuat perancangan teliti mengenai kemungkinan salah interpretasi terhadap soalan oleh responden dan ini dilakukan semasa mereka bentuk item soal selidik dan cara menyampaikan soal selidik tersebut. Kedua-dua kaedah penyampaian sama ada melalui tulisan mahu pun percakapan, memerlukan pendekatan reka bentuk item yang berbeza. Di sinilah penting bagi pengkaji untuk merintis instrumen agar mereka dapat mengenal pasti reka bentuk soalan yang baik dan peratus kesalahan menginterpretasikan soalan oleh responden menjadi rendah.

Dalam muka surat 29 dan 30, pengarang membincangkan mengenai kepentingan pengkaji untuk menggunakan perkataan yang sesuai dalam setiap soalan. Semasa merintis instrumen, pengkaji boleh melakukan teknik menukar satu atau dua perkataan dalam soalan yang sama dan diberikan kepada populasi responden yang berbeza. Contoh yang diberikan dalam buku ini menunjukkan hasil daripada soal selidik yang sama tetapi berbeza dari segi perkataan yang digunakan dalam soalan soal selidik telah memberikan keputusan hasil kajian yang berbeza. Perbezaan tersebut adalah sangat tinggi. Oleh itu, pemilihan perkataan yang sesuai sangat penting semasa mereka bentuk item-item soal selidik. Perkataan yang sesuai mestilah jelas, mempunyai objektif, ringkas dan khusus (brief, objective, simple and specific – BOSS). Perincian mengenai 4 aspek dalam penggunaan perkataan yang sesuai ini dibincangkan di muka surat 31 hingga 43.

Membangunkan soalan yang difahami oleh responden juga merupakan kriteria penting dalam pembangunan item-item soal selidik atau protokol temu bual. Soalan yang mudah difahami juga akan meningkatkan ketepatan jawapan dan mempercepatkan proses menjawab soalan. 2 lagi aspek penting dalam reka bentuk soalan adalah soalan mestilah mudah difahami dan relevan dengan responden. Soalan yang tidak relevan dengan responden akan menjadikan proses menjawab terlalu lama dan kompleks terutama sekali jika temu bual dijalankan secara bersemuka yang mana ia bukan mudah bagi responden untuk mengingati soalan yang ditanya. Bagi membuktikan perbezaan kejituan hasil kajian, penulis telah membuat perbandingan antara 2 situasi tinjauan menggunakan pendekatan soal selidik. Kedua-dua soal selidik dijalankan secara bersemuka dan bentuk jawapan adalah menggunakan skala likert. Dalam situasi pertama, responden hanya ditanya dan pengkaji menunggu jawapan pengguna, manakala dalam situasi kedua responden ditanya sambil pengkaji menunjukkan kad yang tertulis soalan tersebut. Perbezaan antara kedua-dua situasi menunjukkan perbezaan ketara dari segi jawapan di mana penggunaan kad telah menghasilkan skala keputusan yang ada nilai untuk diukur berbanding tanpa kad yang mana keputusan jawapan memberikan skala yang mendatar. Ini mungkin disebabkan oleh rasa bosan yang dilalui oleh responden semasa memberikan jawapan disebabkan tidak mengingati soalan yang ditanya dan menganggap ia tidak ada kaitan dengan dirinya. Perincian mengenai kepentingan bertanya soalan yang relevan dengan responden ditulis dalam muka surat 48.

Selain bentuk soalan yang dibangunkan serta teknik menyusun soalan, terdapat satu lagi teknik dalam pembentukan soalan iaitu pembentukan item dengan kaedah filter-unfolding. Kaedah ini adalah beberapa soalan yang relevan hanya akan diberikan sekiranya jawapan kepada soalan sebelum itu menepati syarat jawapan atau skala, barulah beberapa soalan dalam kumpulan folding di berikan kepada responden, jika tidak soalan tersebut disimpan dan tidak diberikan kepada responden (folding). Contoh kepada bentuk soalan filter-unfolding ditunjukkan dalam rajah di muka surat 47. Kesimpulannya, dalam membentuk soalan, penting  bagi penyelidik menentukan turutan item adalah berdasarkan kepada relevannya item antara satu sama lain.

Seterusnya, pembentukan instrumen juga perlulah dielakkan daripada soalan-soalan yang mempunyai kemungkinan besar tidak mampu dijawab oleh responden seperti soalan yang bukan bidang responden dan soalan yang menyentuh sensitiviti responden. Perincian mengenai dua aspek ini serta faktor-faktor yang mempengaruhinya dibincangkan oleh pengarang dalam muka surat 49 hingga 57. Namun begitu soalan yang akan dijangka mendapat jawapan yang subjektif sebaiknya menggunakan teknik pengukuran yang lebih terbuka dan banyak pilihan seperti skala likert. Teknik skala likert lebih sesuai berbanding skala binari iaitu jawapan Ya atau Tidak kerana soalan yang bersifat subjektif agak sukar ditentukan dan soalan ini selalunya disebut sebagai bias atau tidak adil kerana seolah-olah memaksa responden memilih jawapan yang tidak begitu jujur (ms 58-68).

Sebagai mengakhiri sebuah item soal selidik yang sempurna, sebaiknya dibentuk satu soalan akhir yang formatnya mengisi tempat kosong. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti sekiranya terdapat pemboleh ubah baru hasil daripada pendapat bebas oleh responden. Teknik ini diambil berdasarkan kajian oleh Peterson (2000) di mana beliau mengatakan teknik soalan mengisi tempat kosong di akhir soal selidik ini juga boleh dijadikan bukti kebolehpercayaan jawapan yang diberikan oleh responden pada item-item sebelum itu dengan menganalisis jawapan bebas sama ada pendapat yang diberikan masih dalam ruang lingkup yang sama atau responden mempunyai jawapan yang jauh menyimpang daripada soalan-soalan yang ditanya sebelum itu.

Secara keseluruhan dalam membangunkan instrumen, terdapat 3 aspek utama dalam pembentukan item iaitu soalan pembukaan, susun atur soalan  dan di mana harus di letakkan soalan-soalan yang sensitif (ms 75). Soalan pembukaan mestilah mudah, mesra, dan menarik minat responden. Susun atur soalan pula mestilah mengikut turutan yang logik dan bermula dengan topik utama, kemudian diikuti dengan soalan-soalan yang relevan sebelum masuk ke sub topik seterusnya. Aspek ketiga pula ialah di mana harus diletakkan soalan-soalan yang sensitif. Menurut Warwick & Lininger (1975), soalan-soalan yang sensitif perlu diletakkan di point yang betul yang mana ketika itu responden telah mempunyai minat terhadap kajian dan kepercayaan yang tinggi terhadap pengkaji. Kesilapan meletakkan soalan di point yang betul boleh menyebabkan responden membatalkan hasrat untuk terus menjawab soalan soal selidik (ms 78).

Selain perkara-perkara di atas yang telah dibincangkan, aspek-aspek lain yang perlu diberi perhatian termasuk saiz instrumen yang dibangunkan iaitu soalan tidak perlu terlalu panjang meleret-leret sehingga membosankan responden. Untuk soal selidik, penggunaan jenis tulisan, simbol dan arahan soalan mestilah jelas dan mudah difahami. Sekiranya soal selidik yang diberikan adalah dalam Bahasa Inggeris, ia perlu diterjemahkan mengikut bahasa di mana populasi tempat responden yang ingin dikaji dan terjemahan mestilah sesuai dengan keadaan dan budaya setempat. Aspek terjemahan juga perlu dibuat dengan begitu teliti dan perincian mengenainya ditulis oleh pengarang dalam muka surat 85-86.

Bab ke empat membincangkan mengenai pendekatan pensampelan yang praktikal. Pengarang menekankan bahawa sekiranya prosedur pensampelan telah dilakukan dengan betul, tinjauan yang dijalankan boleh dikira sebagai pendapat awam bagi satu populasi yang besar. Kaedah yang berbeza dalam pemilihan sampel adalah penting kerana bukan semua data yang diperoleh boleh digunakan, sebaliknya sebahagian dari sampel akan digugurkan. Bagaimana untuk mengurangkan kadar pengguguran sampel kajian, ia bergantung kepada bagaimana sampel dipilih dari satu-satu populasi. Oleh itu bagaimana menentukan saiz sampel untuk menjawab soalan agar data yang diperoleh boleh di kira sebagai pendapat awam diperincikan dalam bab ini. Menariknya buku ini adalah di bahagian ini pengarang telah menyatakan formula bagaimana menentukan saiz sampel dalam pensampelan rawak mudah (ms 96-110).

Walau bagaimanapun, penyelidik juga berkemungkinan berdepan dengan masalah mendapatkan ketepatan dalam pemilihan sampel secara rawak apabila terperangkap dalam kerangka populasi. Masalah-masalah tersebut adalah seperti gagal mendapat liputan sebenar populasi kerana disebabkan data populasi terkini adalah tidak dikemas kini.  Selain itu, masalah salinan populasi atau dua data yang diperoleh sebenarnya adalah dari tempat yang sama, kemasukan warga asing dalam populasi tersebut dan juga data sampel yang diperoleh hanya sekelompok sahaja. Buku ini telah membincangkan secara terperinci mengenai penyelesaian kepada setiap masalah yang disebutkan dalam muka surat 110 hingga 114. Buku ini terus memperincikan tentang penyelesaian kepada masalah penentuan saiz sampel menggunakan teknik strata di mana kelompok populasi di bahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum di jalankan soal selidik. Bagaimana ia dibahagikan juga ditentukan oleh tiga kaedah iaitu peruntukan yang sama, peruntukan berkadar atau peruntukan optimum. Formula penentuan dan deskriptif mengenainya diperincikan dalam muka surat 104 hingga 120. Di akhir bab ini, pengarang membuat kesimpulan bahawa sampel yang telah ditentukan dengan kaedah-kaedah yang teliti ini boleh digunakan sepenuhnya dan pengguguran sampel selepas kajian boleh dikurangkan. Ia juga dapat menjimatkan kos selain memperoleh keputusan yang lebih jitu dan boleh dipercayai.

Dalam bab lima, pengarang menekankan aspek psikologi responden dan penyertaan mereka dalam menjawab soal selidik. 3 faktor utama menentukan kejayaan soal selidik ialah persekitaran sosial, reka bentuk soal selidik dan keadaan pemikiran responden. Ketiga-tiga faktor ini dijelaskan dengan terperinci dalam bentuk rajah dan deskriptif di muka surat 147 hingga 156. Masalah yang paling sukar diatasi ialah keadaan fikiran responden di mana pengkaji harus bijak mengenal pasti keadaan fikiran responden ketika itu sama ada boleh diteruskan soal selidik atau tidak. Untuk menjadikan responden berminat dengan soal selidik yang diberikan, tawaran yang menarik seperti hadiah adalah sesuai agar psikologi responden dapat menjawab soal selidik tanpa rasa seperti dipaksa.

Untuk mendapatkan soal selidik yang berjaya dengan keputusan yang itu, latihan demi latihan perlu dilalui oleh penyelidik. Pengalaman, kematangan dan ilmu pengetahuan seseorang penyelidik adalah elemen penting dalam pembangunan sebuah soal selidik yang bagus. Semasa melatih diri menjadi seorang penyelidik yang bagus, beberapa nilai positif perlu diterapkan seperti sentiasa membuat persediaan rapi, menjadi seorang yang disenangi ramai, sentiasa positif, bertanggungjawab, dan tidak berat sebelah terhadap sesuatu isu. Manakala sifat-sifat negatif perlulah dijauhi seperti menipu, tidak sopan terhadap responden, tergesa-gesa dan tidak prihatin terhadap situasi responden.

Dalam memberikan soal selidik, penting bagi penyelidik mengambil kira masa dan lokasi yang sesuai dan memudahkan responden, penampilan yang menarik, budi bahasa dan sopan santun. Menangani setiap masalah yang diberikan oleh responden dari aspek psikologi seperti kurang mendapat kerjasama memerlukan kebijaksanaan seorang penyelidik untuk menghadapinya. Seorang penyelidik haruslah mempunyai perancangan terlebih awal terhadap jangkaan-jangkaan penolakan oleh responden dan bagaimana cara untuk mengatasinya (ms 170-171).

Selain itu, penyelidik juga harus memaklumkan kepada responden mengenai tanggungjawab mereka pula terhadap soal selidik ini sebelum mereka memberikan jawapan. Terdapat 5 perspektif yang akan diberikan oleh responden terhadap soal selidik iaitu menganggap ia sebagai perbualan biasa, tugas hakiki, latihan mengisi borang, ujian dan penyampaian isi hati sebenar. Perbezaan perspektif oleh responden terhadap soal selidik bergantung kepada bagaimana penyelidik memaklumkan kepada mereka mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam menjawab soal selidik tersebut.

Bab ke enam iaitu bab yang terakhir dalam buku ini membincangkan mengenai kepentingan menguruskan data. Pengurusan data yang baik bermula daripada pembangunan reka bentuk tinjauan yang bagus seperti yang telah dibincangkan dalam bab-bab sebelum ini. Prosedur menguruskan data meliputi langkah-langkah membuat koding, mengubah koding, memasukkan data ke dalam perisian bantuan analisis yang khas, dan memuktamadkan hasil analisis data. Perincian bagi setiap satu langkah ini dibincangkan secara gambar rajah dan deskriptif dalam muka surat 188 hingga 217.

Buku ini sangat sesuai dijadikan rujukan dalam kajian saya kerana perbincangan terhadap penyelidikan menggunakan kaedah tinjauan dibincangkan secara terperinci bermula daripada masalah, reka bentuk instrumen, faktor-faktor yang menyokong dan analisis data. Kekuatan buku ini adalah setiap perbincangan terdapatnya contoh-contoh yang jelas dan mudah difahami. Sebelum membaca buku ini saya merasakan pembinaan item-item soal selidik dan protokol temu bual hanyalah pembinaan soalan yang mudah sahaja. Setelah membuat kajian rintis, ternyata pembinaan soalan-soalan soal selidik dan temu bual tidak semudah seperti yang disangka kerana terdapatnya soalan yang tidak mampu dijawab oleh responden. Buku ini telah memberikan banyak maklumat kepada saya mengenai kepentingan untuk melihat setiap perkataan yang digunakan dalam soalan dengan teliti sekali. Walaupun ada perkataan yang sama maknanya, namun penggunaan dalam ayat atau soalan boleh memberikan interpretasi yang berbeza oleh responden. Di sinilah pentingnya mempelbagaikan soalan yang sama dalam kajian rintis untuk melihat jawapan responden dari segi skala yang terhasil semasa analisis.

Selain pembinaan soalan, buku ini juga memberikan pengalaman baru kepada saya mengenai beberapa perkara seperti persediaan sebelum melakukan kajian, kematangan diri, persediaan psikologi diri sendiri dan juga responden serta kaedah menentukan sampel dari populasi rawak mudah. Formula yang diberikan dalam menentukan sampel pada mulanya susah untuk difahami, namun dengan cuba mempraktikkannya saya merasa lebih yakin dalam mengaplikasikannya dalam kajian saya. Walaupun belum memahami sepenuhnya, namun buku ini akan saya jadikan panduan utama dalam membangunkan item-item soal selidik dan juga protokol temu bual dalam kajian saya.

 

buku